The Royale Chulan Cherating Villas
The Royale Chulan Cherating Villas (RCCV), sebuah hotel 5 bintang yang terletak di lereng bukit tepi pantai di Kg. Cherating Lama.
Mengikut penceritaan staf di sini, dahulunya sebahagian kawasan ini merupakan rumah rehat Keluarga Diraja Pahang, sebelum diambilalih, direnovasi dan dijadikan hotel dibawah jenama The Royale Chulan.
Sekiranya tidak menempah bilik di sini, pengunjung luar tidak dibenarkan masuk. Di pintu masuk di kaki bukit, pegawai keselamatan memeriksa dahulu kenderaan dan 'booking confirmation' sebelum benarkan kami masuk. Memang ketat sungguh kawalan keselamatan.
Kenderaan pula hanya boleh parking di kaki bukit. Tramp/van akan jemput di lot parking dan bawa kita ke lobi hotel yang terletak di puncak bukit untuk pendaftaran. Setelah mendaftar masuk, tramp/van akan menghantar kita beserta luggage ke bilik masing².
Seusai melangkah masuk ke lobi RCCV, anda pasti akan terpesona melihat pemandangan memukau yang disajikan. Dengan senibina tradisi-moden gabungan kayu & cermin, teruja sungguh melihat hamparan lautan biru dengan ombak putih menghempas jajaran pantai. MashaAllah, itu sahaja dapat diungkapkan melihat keindahan alam ciptaan Tuhan.
Kami disambut mesra oleh staf frontdesk yang bertugas. Satu ruangan khas diberikan buat keluarga kami sementara menunggu pendaftaran. Staf datang ke ruang rehat kami, menerangkan dengan jelas segala perincian tentang hotel ini. Begitulah layanan dan servis di RCCV, kita tak perlu datang kepada mereka, bukan selalu dapat kami rasa. Hehe
Kami ambil bilik jenis Ocean Suite, yang terletak di kaki bukit dan menghadap pantai. Sekali lagi terkesima sebaik melangkah masuk ke bilik ini. Dengan binaan dinding kaca di tepi dan hadapan bilik, pemandangan laut dan pantai akan menemani kita sepanjang siang dan malam.
Ocean Suite ini berada betul² di hadapan kolam renang dan paling dekat dengan pantai. Bilik² lain terletak di lereng dan puncak bukit, agak mencabar juga jika nak turun naik ke pool dan pantai. Bilik kami cukup luas dan selesa. Ada set sofa, juga set meja makan untuk 2 orang.
Apa yang kurangnya bilik ini, hanya katil Queen diberikan. Saya fikir lebih sesuai diletakkan katil King kerana bilik cukup besar. Selain itu, wifi agak slow dan mangkuk jamban sedikit rendah daripada ketinggian standard.
Pantainya pula landai, bersih dan airnya jernih. Walaupun air pasang, tidak perlu risau untuk mandi-manda di sini. Kita juga boleh lihat kera dan lotong bermain dan mencari makan di sekitar pantai dan hotel.
Selain daripada aktiviti pantai, anda juga boleh memanjakan diri di spa atau cuba hiking di Bukit RCCV. Ada trail khas disediakan untuk sampai ke puncak. Kata staf, ada gazebo di puncak bukit untuk pendaki berehat dan mengambil gambar pemandangan Cherating seluas mata memandang.