Gunakan pengesahan penyepaduan dengan Microsoft Entra ID dalam Apple School Manager
Dalam Apple School Manager, anda boleh memaut ke Microsoft Entra ID menggunakan pengesahan penyepaduan untuk membenarkan pengguna mendaftar masuk ke peranti Apple dengan nama pengguna (secara amnya alamat e-mel mereka) dan kata laluan Microsoft Entra ID.
Hasilnya, pengguna anda boleh memanfaatkan kelayakan Microsoft Entra ID mereka sebagai Apple ID Terurus. Mereka kemudiannya boleh menggunakan bukti kelayakan itu untuk mendaftar masuk ke iPhone, iPad atau Mac yang diperuntukkan kepada mereka dan juga kepada iCloud pada web.
Microsoft Entra ID ialah pembekal identiti (IdP) yang mengesahkan pengguna untuk Apple School Manager dan mengeluarkan token pengesahan. Pengesahan ini menyokong pengesahan sijil dan pengesahan dua faktor (2FA).
Sebelum anda bermula
Sebelum anda memaut ke Microsoft Entra ID, pertimbangkan perkara berikut:
Pengesahan penyepaduan menghendaki supaya userPrincipalName (UPN) pengguna sepadan dengan alamat e‑mel mereka. Alias userPrincipalName dan ID Alternatif tidak disokong.
Bagi pengguna sedia ada dengan alamat e-mel dalam domain penyepaduan, Apple ID Terurus mereka diubah secara automatik agar sepadan dengan alamat e-mel tersebut.
Jika perlu, konfigurasikan dan sahkan domain yang ingin anda gunakan. Lihat Paut ke domain baharu. Jika anda telah mengesahkan domain yang ingin anda sepadukan dengan Microsoft Entra ID, anda boleh melangkau proses ini.
Putuskan sambungan dari Sistem Maklumat Pelajar (SIS) anda atau hentikan muat naik menggunakan SFTP.
Akaun pengguna dengan peranan Pentadbir, Pengurus Laman atau Pengurus Individu tidak boleh mendaftar masuk menggunakan pengesahan penyepaduan; mereka hanya boleh menguruskan proses penyepaduan.
Apabila sambungan Microsoft Entra ID telah tamat tempoh, penyepaduan dan penyegerakan akaun pengguna dengan Microsoft Entra ID berhenti. Anda mesti menyambung semula kepada Microsoft Entra ID untuk terus menggunakan penyepaduan dan penyegerakan.
Proses pengesahan penyepaduan
Proses ini melibatkan tiga langkah utama:
Konfigurasikan pengesahan penyepaduan.
Uji pengesahan penyepaduan dengan akaun pengguna Microsoft Entra ID tunggal.
Hidupkan pengesahan penyepaduan.
Langkah 1. Konfigurasikan pengesahan penyepaduan
Tugasan ini membolehkan Microsoft Entra ID untuk mempercayai Apple School Manager.
Nota: Selepas anda melengkapkan langkah ini, pengguna tidak boleh mencipta Apple ID peribadi baharu pada domain yang anda konfigurasikan. Perkara ini boleh menjejaskan perkhidmatan Apple lain yang anda gunakan. Lihat Pindahkan perkhidmatan Apple apabila menyepadukan.
Dalam Apple School Manager , daftar masuk dengan pengguna yang mempunyai peranan Pentadbir, Pengurus Laman atau Pengurus Individu.
Pilih nama anda di bahagian bawah bar sisi, pilih Keutamaan , pilih Apple ID Terurus, kemudian pilih Mulakan di bawah “Daftar masuk pengguna dan penyegerakan direktori.”
Pilih Microsoft Entra ID, kemudian pilih Teruskan.
Pilih “Daftar masuk dengan Microsoft,” masukkan nama pengguna Pentadbir Global Microsoft Entra ID, kemudian pilih Seterusnya.
Masukkan kata laluan untuk akaun tersebut, kemudian pilih Daftar Masuk.
Baca perjanjian aplikasi dengan teliti, pilih “Bersetuju bagi pihak organisasi anda,” kemudian pilih Terima.
Anda bersetuju Microsoft memberikan Apple akses kepada maklumat yang terdapat dalam Microsoft Entra ID.
Jika perlu, semak semula domain yang disahkan dan bercanggah.
Pilih Selesai.
Dalam beberapa kes, anda mungkin tidak dapat menambah domain anda. Sebab‑sebab biasa adalah:
Nama pengguna atau kata laluan dari akaun dalam langkah 4 adalah tidak betul.
Langkah 2: Uji pengesahan dengan akaun pengguna Microsoft Entra ID tunggal
Penting: Ujian pengesahan penyepaduan juga menukar format Apple ID Terurus lalai anda. Akaun baharu yang dicipta dalam Sistem Maklumat Pelajar (SIS) atau dimuat naik menggunakan Protokol Pindah Fail Selamat (SFTP) menggunakan format Apple ID Terurus yang baharu.
Anda boleh menguji sambungan pengesahan penyepaduan selepas anda melaksanakan tugasan berikut:
Semakan konflik nama pengguna lengkap.
Format lalai Apple ID Terurus dikemas kini.
Selepas anda berjaya memautkan Apple School Manager ke Microsoft Entra ID, anda boleh mengubah peranan akaun pengguna kepada peranan lain. Sebagai contoh, anda mungkin ingin mengubah peranan akaun pengguna kepada peranan Pengajar.
Nota: Akaun pengguna dengan peranan Pentadbir, Pengurus Laman atau Pengurus Individu tidak boleh mendaftar masuk menggunakan pengesahan penyepaduan; mereka hanya boleh menguruskan proses penyepaduan.
Pilih Sepadukan di sebelah domain yang anda ingin menyepadukan.
Pilih “Daftar masuk ke Portal Microsoft Entra ID,” masukkan nama pengguna Microsoft Entra ID bagi akaun yang wujud dalam domain, kemudian pilih Seterusnya.
Masukkan kata laluan untuk akaun tersebut, pilih Daftar Masuk, pilih Selesai, kemudian pilih Selesai.
Dalam beberapa kes, anda mungkin tidak dapat mendaftar masuk ke domain anda. Berikut adalah beberapa sebab yang biasa:
Nama pengguna atau kata laluan dari domain yang anda pilih untuk disepadukan adalah tidak betul.
Akaun tidak berada di domain yang anda pilih untuk disepadukan.
Langkah 3: Hidupkan pengesahan penyepaduan
Dalam Apple School Manager , daftar masuk dengan pengguna yang mempunyai peranan Pentadbir, Pengurus Laman atau Pengurus Individu.
Pilih nama anda di bahagian bawah bar sisi, pilih Keutamaan , kemudian pilih Apple ID Terurus .
Dalam bahagian Domain, pilih Urus di sebelah domain yang ingin anda sepadukan, kemudian pilih “Hidupkan Daftar masuk dengan Microsoft Entra ID.”
Hidupkan “Daftar masuk dengan Microsoft Entra ID.”
Jika perlu, anda kini boleh menyegerakkan akaun pengguna ke Apple School Manager. Lihat Segerakkan akaun pengguna daripada Microsoft Entra ID.