Pilih teks dalam Keynote pada Mac
Anda memilih teks untuk menukar formatnya, mengalihkannya, menyalinnya dan banyak lagi. Anda boleh memilih sebarang bilangan teks—daripada aksara, hingga ke perkataan, hingga ke perenggan—dan teks boleh menjadi berdampingan atau tidak berdampingan (tidak bersebelahan). Memilih teks tidak berdampingan memudahkan untuk melakukan tindakan yang sama pada pilihan teks khusus dalam slaid.
Sebelum anda boleh memilih teks dalam kotak teks, bentuk, sel jadual atau medan teks tajuk atau kapsyen, anda perlu meletakkan titik sisipan terlebih dahulu di dalam objek atau medan teks. Titik sisipan ialah garis menegak berkelip yang menunjukkan tempat teks yang anda taip kelihatan.
Letakkan titik sisipan
Anda meletakkan titik sisipan untuk menunjukkan tempat anda mahu mula menaip atau memilih teks.
Nota: Jika anda bekerja dalam slaid kosong, anda perlu menambah kotak teks, bentuk, atau jadual kepada slaid sebelum anda boleh meletakkan titik sisipan.
Lakukan salah satu daripada berikut:
Dalam kotak teks: Klik kotak teks. Jika kotak teks telah mengandungi teks, klik sekali untuk memilih objek, kemudian klik lagi dalam teks pada tempat yang anda mahu letakkan titik sisipan.
Dalam bentuk: Dwiklik bentuk. Jika bentuk mengandungi teks, perkataan dipilih; klik lagi tempat anda mahu letakkan titik sisipan.
Dalam sel jadual: Klik sel untuk memilihnya, kemudian klik di tempat anda mahu letakkan titik sisipan.
Dalam tajuk atau kapsyen: Klik tajuk atau kapsyen untuk memilih medan, kemudian klik lagi untuk meletakkan titik sisipan.
Selepas anda meletakkan titik sisipan, anda boleh menggunakan kekunci anak panah untuk mengalihkannya.
Nota: Anda tidak boleh meletakkan titik sisipan dalam teks ruang letak. Apabila anda mengklik teks ruang letak, keseluruhan blok teks dipilih. Titik sisipan kelihatan hanya selepas anda mula menaip.
Pilih teks
Untuk memilih teks, lakukan mana-mana daripada berikut:
Pilih satu atau lebih aksara: Klik di bahagian depan aksara pertama dan seret merentas aksara.
Pilih perkataan: Dwiklik perkataan.
Pilih perenggan: Klik tiga kali dalam perenggan.
Pilih julat teks dengan cepat tanpa menyeret: Klik di bahagian depan aksara pertama, kemudian tahan kekunci Shift pada papan kekunci anda dan klik di hujung teks yang anda inginkan.
Pilih teks tidak berdampingan (dua atau lebih perkataan atau pilihan teks tidak bersebelahan): Tekan dan tahan kekunci Command semasa memilih dua atau lebih perkataan tidak bersebelahan atau julat teks.
Anda boleh memilih julat teks bersambung atau berbilang pilihan tidak berdampingan hanya dalam kawasan sama slaid—sebagai contoh, dalam kotak teks, bentuk atau sel jadual tunggal.
Untuk nyahpilih semua pilihan teks, klik di mana-mana pada slaid di luar pilihan. Untuk menyahpilih hanya satu atau sebahagian daripada mana-mana pilihan tidak berdampingan anda, tekan dan tahan kekunci Command, kemudian pilih teks yang anda mahu keluarkan.
Untuk lebih banyak cara bagi memilih teks, lihat Pintasan papan kekunci.